Calon BN Salahguna Peruntukan, melanggar Akta Kesalahan PR!
Kenyataan Media oleh Setiausaha Organisasi DAP Melaka dan Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Kawasan Machap Liou Chen Kuang pada 5 April 2007 (Khamis) di Machap:
Lai Meng Chong menjanjikan peruntukan Kerajaan Negeri untuk memperbaiki lima rumah kediaman di Kampung Machap Baru adalah perbuatan rasuah secara tidak langsung yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Ketika melawat ke Kampung Machap Baru semalam, calon Barisan Nasional Lai Meng Chong menjanjikan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri untuk membina semula atau memperbaiki lima rumah kediaman adalah sesuatu perbuatan rasuah secara tidak langsung yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Penduduk-penduduk tersebut dijanjikan peruntukan kewangan yang amaunnya di antara RM6,000 hingga RM13,000 untuk memperbaiki bahagian rumah kediaman mereka yang rosak. Tanpa mengira apa jenis alasan, Lai Meng Chong sebagai calon Barisan Nasional tidak harus menyalahgunakan sumber kewangan Kerajaan Negeri Melaka untuk kepentingan peribadi dan ini seharusnya dilihat sebagai tindakan yang cuba menyogok pengundi-pengundi di sekitar kawasan Machap Baru.
Lai Meng Chong masih menyandang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia. Jika begitu, beliau memang tidak berkuasa untuk menggunakan sumber kewangan kerajaan negeri. Pada masa yang sama, pegawai-pegawai kerajaan yang hadir bersamanya juga tidak berkuasa untuk memperuntukkan sumber kewangan tersebut.
DAP mendesak calon kedua-dua pihak harus bersaing secara adil tanpa menyalahgunakan jentera dan sumber kewangan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri. Bagi mereka yang menyalahgunakan jentera dan sumber kewangan awam, pengundi-pengundi haruslah mengutuk jenis tindakan ini.
Saya akan membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya esok dan menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang, termasuk menghadapkan mereka ke mahkamah. Saya juga mendesak Lai Meng Chong meletak jawatannya sebagai setiausaha politik bagi mengelakkan dirinya terus menyalahgunakan sumber awam bagi kepentingan diri sendiri.
Liou Chen Kuang
No comments:
Post a Comment