Saturday 7 April 2007

Kerajaan negeri Melaka harus berhenti menyalahguna jentera kerajaan untuk kempen pilihanraya kecil Machap

Kenyataan media oleh Pengerusi DAP Melaka dan ADUN DAP untuk kawasan Bandar Hilir YB Goh Leong San pada 5hb April 2007 di Melaka:

Kami menyeru Kerajaan negeri Melaka harus berhenti menyalahguna jentera kerajaan untuk kempen pilihanraya kecil Machap.

DAP amat berasa kesal dan membantah tindakan Kerajaan negeri Melaka mengumumkan pelbagai jenis peruntukan kewangan dan meluluskan pelbagai permintaan infrastruktur daripada rakyat semasa kempen pilihanraya kecil Machap kali ini.

Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam telah pada 4hb April mengumumkan bahawa Kerajaan negeri telah mengumumkan perluasan kawasan tanah perkuburan Cina di Machap, dengan mana kedua-kedua tanah perkuburan Cina di Machap Baru dan Machap Umboo masing-masing diperluaskan sebanyak 10 hektar dan 5 hektar.

Sejak bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumunkan pilihanraya kecil machap ini, Kerajaan negeri sudah menyalahgunakan pelbagai sumber kewangan dan jentera untuk meraih undi. Ini termasuk pemindahan menara telekomunikasi di Kampung Permai Machap Umboo, pembinaan sebuah taman di Machap Baru dalam masa dua minggu dan pemasangan 300 lampu jalan dan penurapan semula jalan dalam masa dua minggu.

Sementara itu, sepanjang tempoh kempen pilihanraya, Kerajaan negeri juga telah meluluskan sekeping tanah seluas 27,000 meter persegi untuk dijadikan tempat letak kereta kepada sebuah Tokong Cina, disertakan dnegan peruntukan untuk membina stesyen pencawang elektrik TNB.

Kerajaan negeri dan persekutuan turut meluluskan 50 unit rumah kepada peneroka-peneroka FELDA berketurunan Cina semasa kempen pilihanraya.

Keadaan sedemikian sememangnya merupakan satu bentuk tamparan yang hebat ke atas sistem demokrasi di negara kita. Ini menunjukkan betapa lalainya kerajaan BN dalam memajukan infrastruktur setempat pada masa biasa dan hanya menunjukkan ketekunan mereka apabila mereka perlu undi daripada pengundi-pengundi untuk menang dalam pilihanraya kecil.

DAP berpendapat bahawa adalah tidak bersalah untuk sesebuah kerajaan itu memajukan infrastruktur-infrastruktur setempat. Biarpun begitu, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang mantap, kerajaan harus memahami kehendak, keluhan, pendapat dan permintaan rakyat dan bukannya berbuat demikian semasa pilihanraya apabila BN ingin meraih undi rakyat untuk menang.

Cara ini juga merupakan satu bentuk rasuah. Kami menyeru BN untuk menghormati sistem demokrasi sebagai landasan sistem politik yang utama di negara ini supaya jangan sekali-sekala mereka menyalahgunakan wang rakyat dan jentera kerajaan untuk mencapai tujuan politik mereka

Goh Leong San

No comments: