Tuesday 10 April 2007

Pengundi jangan terpedaya dengan taktik BN yang berjanji untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah sehingga 99 tahun

Kenyataan Media oleh Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Machap Liou Chen Kuang pada 10hb April 2007 di Machap:

Pengundi-pengundi Machap janganlah terpedaya dengan taktik BN yang berjanji untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah sehingga 99 tahun selepas mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya kecil kali ini.

Ketua Menteri Melaka berkata tempoh pajakan tanah di Machap Umboo hanya akan dilanjutkan sehingga 99 tahun setelah BN mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya kecil kali ini.

Ini membawa makna tersirat bahawa jikalau BN tidak mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya kecil kali ini, tempoh pajakan tanah di Machap Umboo tidak akan dilanjutkan.

Sekali lagi, BN menggunakan taktik kotor untuk memperdayakan pengundi-pengundi di Machap Umboo. Pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, BN juga berjanji untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah termasuk mengeluarkan surat kelulusan kepada tuan-tuan tanah, namun kebanyakan di antara mereka masih belum diluluskan sehingga hari ini.

BN juga mendapatkan kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak, di mana BN menguasai 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Namun, BN masih tidak menunaikan janji-janji yang telah dibuat semasa pilihan raya tersebut.

Dengan ini, saya ingin menasihati pengundi-pengundi di sini supaya janganlah terpedaya dengan taktik BN yang kotor. Sebaliknya, mereka haruslah menyokong penuh calon DAP supaya memberi tekanan kepada BN agar tempoh pajakan tanah dapat diluluskan dengan serta-merta.

Walaupun Ketua Menteri secara prinsipnya berjanji untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah di Machap Umboo, namun kami bimbang bahawa janji-janji tersebut tidak akan ditunaikan meskipun BN mendapat kemenangan yang lebih besar dalam pilihan raya kecil kali ini.

Tambahan pula, premium tanah yang begitu mahal tidak dapat ditampung oleh penduduk-penduduk Machap Umboo yang taraf kehidupan mereka jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk di kawasan yang lain.

Demi menyelesaikan masalah melanjutkan tempoh pajakan tanah, saya berjanji untuk mengemukakan usul dalam Dewan Undangan Negeri Melaka bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah selama 99 tahun tanpa dikenakan sebarang bayaran sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Machap nanti.

LIOU CHEN KUANG

No comments: