Sunday 8 April 2007

Pengundi Machap haruslah menyokong calon DAP yang lantang bersuara dalam DUN Melaka

Kenyataan Media oleh Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Machap Liou Chen Kuang pada 8 April 2007, Ahad di Machap:

Pengundi-pengundi Machap haruslah menyokong calon DAP yang lantang bersuara dalam DUN Melaka jika terpilih nanti dan bukannya calon BN yang hanya menyokong dasar BN secara buta walaupun beliau seorang anak tempatan.

Pilihan raya kecil Machap yang sedang berlangsung bukannya pertarungan di antara anak tempatan dan anak bukan tempatan, serta bukan penentuan rekod perkhidmatan di antara siapa calon yang lebih baik.

Malah, pilihan raya kecil kali ini merupakan pertarungan penting untuk menguatkan lagi suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dan seterusnya mengubah nasib keseluruhan penduduk di Machap.

Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum 2004, saya melawat ke kawasan Machap setiap minggu dan mendengar serta menangani aduan yang dikemukakan oleh pengundi-pengundi di sini.

Tuduhan MCA bahawa saya hanya minum kopi di Machap, ini memanglah tuduhan yang tidak berasas. Jikalau saya ingin minum kopi, tidak payahlah saya pergi ke Machap yang agak jauh sekali.

Menteri Sumber Manusia dan Naib Presiden MCA Dato’ Seri Dr Fong Chan Onn berkata bahawa disebabkan Lai Meng Chong merupakan anak tempatan Machap, penduduk-penduduk Machap haruslah menyokong Lai Meng Chong.

Jikalau beliau sebagai wakil rakyat BN tidak berani untuk lantang bersuara serta menyuarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam DUN Melaka nanti, ini tetap tidak dapat mengubah nasib keseluruhan penduduk-penduduk Machap walaupun Lai Meng Chong seorang anak tempatan yang disokong penuh oleh pengundi-pengundi di sini.

Saya menasihati pengundi-pengundi Machap jangan menyokong calon BN secara membuta supaya wakil rakyat MCA tidak menyokong dasar-dasar BN yang secara terang-terang membelakangkan faedah rakyat.

Para pengundi Machap yang dihormati, 12 April 2007 merupakan saat-saat yang penting bagi kita mengubah nasib keseluruhan Machap. Kamu haruslah menyokong calon DAP untuk membawa harapan kepada seluruh warga Machap!

LIOU CHEN KUANG

2 comments:

Unknown said...

hey. liou. if u want your picture u can visit to http://shuttertalk.blogspot.com/
thanks

Zool Blogger said...

hm.. tak tau nak cakaplah.. bukan pengundi sana pun...